#PRAY4MH370

KUALA LUMPUR - Destinasi MH370 KLIA - Beijing, China
KUALA LUMPUR - Selepas tulisan pertama perjalanan saya dan isteri ke Vietnam Januari 2014 saya paparkan dalam blog ini, Jumaat (7 Mac 2014) minggu lepas, dunia tiba-tiba dikejutkan dengan kehilangan secara misteri penerbangan #MH370 di Laut China Selatan iaitu betul-betul di bahagian selatan kepulauan Vietnam. Kapal terbang jenis Boeing 777-200 milik penerbangan Malaysia Airlines (MAS) itu dikatakan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China dengan membawa penumpang termasuk anak-anak kapal seramai 238 orang. Kalau tak silap, laluan tersebut jugalah yang digunakan ketika lawatan saya dan isteri ke Hanoi, Vietnam menggunakan penerbangan Vietnam Airlines awal tahun ini.

Mengikut rekod, #MH370 berlepas pada pukul 12.41 awal pagi Sabtu (8 Mac 2014) dan dijadual mendarat pada pukul 6.30 pagi. Walau bagaimanapun, selepas dua jam penerbangan tersebut, Menara Kawalan Trafik Udara yang berpusat di Subang melaporkan terputus hubungan dengan pesawat berkenaan sekitar pukul 2.40 pagi setelah menerima laporan dari Pusat Kawalan Trafik Udara Vietnam. Kali terakhir isyarat #MH370 dikesan menerusi radar ialah 120 batu nautika di timur Kota Bharu di perairan Laut China Selatan tanpa sebarang isyarat kecemasan dan komunikasi diterima daripada juruterbangnya, Kapten Zahari Ahmad Shah, 53.

Kelewatan pesawat MH370 merisaukan semua pihak
Kehilangan misteri ini tentunya memeranjatkan seluruh dunia dan tidak kurang juga yang menjengkelkan dengan lawak-lawak dan kenyataan yang tidak begitu sensitif diatas kesedihan dan musibah yang menimpa keluarga mangsa. Sementara, pihak berkuasa pula kelihatan begitu tertekan dengan pelbagai desakkan dan spekulasi yang bukan sahaja memberi tekanan psikologi malah membuat mereka jadi runsing kerana tiada sebarang petanda jelas sama ada penerbangan #MH370 terhempas, di rampas atau disembunyikan dan pelbagai lagi andaian yang terpaksa diterima sebagai munasabah.

Manakala para media diasak oleh akhbar dan agensi masing-masing untuk mendapatkan `angle' berita yang baru, segar dan skop pemberita lain kerana inilah peluang mereka untuk meningkatkan jualan dan rating akhbar serta siaran masing-masing. Lebih buruk, terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat jahat cuba mengeksploitasi keresahan yang melanda negara dengan pelbagai tomahan dan sebaran berita palsu kemudian dikongsi oleh pengamal media sosial tanpa mengesahkan kesahihan dan sumber berita.

Walau apapun yang berlaku bersama kita mendoakan agar pesawat #MH370 yang turut membawa dua bayi kecil selamat kembali ke pangkuan keluarga masing-masing. Hanya doa kita sahaja yang mampu menjadi pengiring kepada mereka semua.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Buy lah

Follow lah



Paid Ads lah